MELAKA: Polis Melaka menahan 6 individu dalam siasatan berhubung insiden rusuhan pada Kongres Pemuda PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada 6 Dis lepas.

Ketua Polis Melaka, Mat Kasim Karim berkata individu terbabit ditahan secara berperingkat bermula 6 Dis hingga semalam dan semua mereka lelaki berusia 19 hingga 30 tahun serta dipercayai ahli PKR.

Mat Kasim berkata mereka antara 14 individu yang dikehendaki membantu dan melengkapkan kertas siasatan kes itu bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan sebelum dihantar ke pendakwa raya bagi tindakan lanjut.

“Enam yang ditahan itu 14 individu yang dikenal pasti setakat ini bagi membantu siasatan insiden merusuh melibatkan 2 kumpulan daripada parti yang sama dan semua mereka diambil keterangan serta dilepaskan dengan jaminan.

“Pada mulanya kita menahan 2 lelaki iaitu ahli parti itu dari Kuala Lumpur dan Klang dan seterusnya seorang lagi dari Banting. Tiga lagi ahli parti itu ditahan hasil risikan kita,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Penguatkuasaan “Mitsubishi Outlander 2.4” hari ini.

Mengulas lanjut, Mat Kasim berkata 8 lagi individu yang dikenal pasti dan gambar mereka diedarkan sebelum ini diminta segera tampil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bagi membantu siasatan.

Katanya, keterangan 8 lelaki itu penting bagi membantu menyelesaikan kes berkenaan dan melengkapkan kertas siasatan.

Menurutnya, sebanyak 15 saksi termasuk ahli parti itu dipanggil bagi memberi kenyataan berhubung insiden itu dan 5 laporan polis diterima setakat ini.

Polis akan memanggil semua pihak atau individu tidak mengira pangkat dalam parti terlibat yang dikenal pasti dapat membantu siasatan kes itu agar keadilan dapat diberikan kepada semua pihak dan siasatan dilaksanakan secara profesional.

“Kita menjalankan siasatan berdasarkan laporan yang diterima dan diharap pihak terlibat dapat bersabar agar siasatan dapat diselesaikan dan dilengkapkan. Saya ingin menegaskan kita tidak terlibat atau menerima apa-apa arahan bagi menjalankan siasatan ini,” katanya.

Pada 6 Dis lepas, media melaporkan Kongres Pemuda PKR dicemari insiden kekecohan yang pertama ekoran sekumpulan anggota Pemuda tidak dibenarkan masuk ke dewan persidangan kerana penuh manakala kali ke-2 semasa kongres berhenti rehat.