Kumpulan CIMB dan Alliance Bank berkata mereka melaksanakan langkah berjaga-jaga selepas 2 kakitangan dikesan positif Covid-19.

PETALING JAYA: Dua kakitangan bank disahkan positif Covid-19.

Kumpulan CIMB berkata, kakitangannya yang dijangkiti adalah daripada salah satu pusat panggilannya di Menara Southern Bank (MSB) di Kuala Lumpur, manakala Alliance Bank berkata, ia membabitkan kakitangan yang bertugas di cawangan Damansara Uptown, Damansara dan Taman Tun Dr Ismail.

Dalam satu kenyataan, Kumpulan CIMB berkata, pekerja yang mempunyai kontak rapat dengan kakitangan terbabit kini menjalani kuarantin di rumah dan pusat panggilan itu ditutup untuk proses sanitasi.

Kumpulan itu berkata, ia telah melaksanakan beberapa langkah berjaga-jaga, termasuk dasar pengisytiharan perjalanan mandatori, kebersihan, penjarakkan sosial dan pemantauan keadaan dengan laporan terkini.

Alliance Bank berkata, ia menutup 3 cawangan bagi proses sanitasi, dan menambah telah memulakan langkah mengesan kontak dan memberitahu pekerja dan pelanggan yang mungkin mempunyai kontak rapat dengan kakitangan terbabit.