Pada masa ini majikan perlu mencarum dari 12 ke 13% setiap bulan ke atas gaji pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

PETALING JAYA: Majikan dalam sektor swasta meminta Putrajaya membenarkan pengurangan dalam sumbangan mereka kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke paras 5% daripada gaji bulanan pekerja dan juga pengecualian sementara daripada membayar beberapa cukai.

Pengarah eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata, langkah ini boleh membantu menghalang pembuangan pekerja dan penutupan perniagaan susulan ancaman Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Beliau berkata, pengurangan sumbangan KWSP harus dibenarkan selama 8 bulan dari tarikh perintah itu berkuat kuasa pada 18 Mac lepas.

Pada masa ini majikan perlu mencarum sebanyak 12-13% ke atas gaji semua pekerja kepada KWSP setiap bulan.

Shamsuddin menggesa keputusan segera dibuat berhubung beban sumbangan KWSP itu ke atas majikan.

Beliau juga mencadangkan supaya majikan diarah membayar baki sumbangan berkanun kepada KWSP itu sekiranya ia membuang pekerja.

Beliau tidak bersetuju dengan arahan terbaru yang menghendaki majikan membayar gaji dan elaun penuh pekerja sepanjang tempoh perintah kawalan dengan berkata, ia merupakan beban berat yang terpaksa ditanggung dalam keadaan ekonomi semasa.

“Adakah Kementerian Sumber Manusia dan kerajaan berfikir dari manakah majikan akan mendapat dana untuk membuat semua bayaran itu?”, katanya.

Berikut adalah antara cadangan beliau kepada kerajaan:

  • Beri pengecualian ke atas pembayaran kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial dan Skim Insurans Pekerjaan sehingga wabak Covid-19 tidak lagi menjadi ancaman atau paling kurang sehingga pertengahan 2021.
  • Pengecualian penuh atau separuh ke atas sektor swasta daripada membayar kepada Tabung Pembangunan Sumber Manusia sehingga Jun 2021.
  • Tangguh bayaran cukai korporat selama 6 bulan bagi membolehkan suntikan kecairan ke dalam pasaran dibuat dan membaiki aliran tunai syarikat.
  • Hadkan kadar cukai pendapatan ke atas individu dan syarikat kepada maksimum 18%.
  • Kecualikan kadar taksiran ke atas hartanah pada setengah kedua 2020 dan setengah pertama 2021.
  • Kurangkan cukai jualan dan perkhidmatan.
  • Benarkan penamatan pekerjaan warga asing berpendapatan di bawah RM5,000.

Dalam pada itu presiden Persatuan Peruncit Malaysia Gary Chua berkata, peruncit dijangka kehilangan 80% daripada perniagaan mereka susulan pelanjutan perintah kawalan pergerakan.

Katanya mereka tidak akan dapat membayar gaji atau meneruskan perniagaan tanpa bantuan kerajaan, sekali gus mencadangkan supaya Putrajaya membayar sekurang-kurangnya sebahagian daripada gaji pekerja mereka.

Beliau juga berkata, syarikat berkaitan kerajaan yang untung harus memberikan sebahagian daripada pendapatan itu kepada golongan yang memerlukan.

Ketua pegawai eksekutif Persatuan Hotel Malaysia Yap Lip Seng memberitahu FMT bahawa anggota persatuan itu berdepan masalah perniagaan, hatta sebelum perintah kawalan itu dikuatkuasakan, dengan tempahan bagi kira-kira 190,000 bilik dibatalkan, yang menyebabkan kerugian lebih RM75 juta.

Beliau berkata, kajian terbaru menunjukkan industri9 hotel akan kerugian lebih RM560 juta dalam 2 minggu pertama perintah tersebut.

“Lanjutan tempoh kawalan selama 14 hari lagi bermakna industri berkenaan akan rugi lebih RM1 bilion,” katanya.

Beliau berkata, 9% pekerja dalam industri perhotelan menerima potongan gaji, 17% bercuti tanpa gaji dan 4% ditamatkan perkhidmatan.