Setiap kali mengambil gambar bersama rakan, pasti ada yang membuat pelbagai gaya dan aksi spontan bagi mencantikkan gambar tersebut.

Antara gaya yang kebiasaannya kita akan lihat adalah membuat isyarat “peace” menggunakan jari hantu dan telunjuk semasa mengambil gambar.

Namun dalam gambar tersebut, mungkin anda terlupa atau tidak tahu tentang suatu perkara apabila penggodam boleh mencuri maklumat biometrik dengan menunjukkan bahagian perut jari itu sahaja.

Menurut Profesor Institut Teknologi Informatik Nasional, Isao Echizen penggodam boleh mencuri maklumat tersebut meskipun gambar diambil sejauh tiga meter.

Para penggodam boleh mengimbas dan meniru cap jari tersebut khususnya menggunakan teknologi yang lebih canggih.

“Hanya dengan melakukan isyarat ‘peace’ di hadapan kamera, cap jari boleh diperolehi dengan meluas.

“Data cap jari boleh dihasilkan semula jika ia kelihatan jelas dan terang dalam gambar,” katanya kepada media Sankei Shimbun dan di petik laman Alphr.

Profesor Echizen dan para pengkaji lain di NII berupaya meniru cap jari yang wujud dalam gambar-gambar yang dipetik menggunakan kamera digital.

Mereka mengatakan bahawa proses meniru itu langsung tidak memerlukan teknologi yang begitu canggih.

Secara asasnya biometrik digunakan bagi memastikan keselamatan. Malah, ia dilihat sebagai jauh lebih selamat berbanding kata laluan.

Di Singapura juga, biometrik digunakan untuk mengakses khidmat-khidmat awam, seperti SingPass.

Tentunya ia mengandungi banyak maklumat peribadi seseorang individu.

Jadi anda perlu berfikir dua kali jika ingin bergambar sambil membuat isyarat “peace”.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com