Perkongsian data merupakan satu ancaman dan senjata baru dunia untuk “membunuh” dengan mudah dan menghancurkan negara.

Ia lebih mudah tanpa perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk membiayai pesawat tempur dan peluru berpandu.

Bekas pekerja syarikat berkaitan data, Cambridge Analytica iaitu Brittany Kaiser mendedahkan bagaimana maklumat orang ramai menjadi sumber data yang disyorkan untuk kempen propaganda politik di seluruh dunia.

Menurut Express UK, Cambridge Analytica menggunakan data Facebook untuk memanipulasi sentimen pengundi, dengan menyasarkan kelemahan psikologi pengguna media sosial untuk mengubah sentimen dalam membawa agenda politik.

Dengan cara ini, kumpulan yang tidak menggemari politik akan terpaksa menerima pelbagai cerita politik setiap hari dengan propaganda serta maklumat palsu semata-mata untuk membina sokongan dan persepsi.

Selain itu, firma ini turut dilaporkan menjual data peribadi kepada pihak perisikan Rusia, bertujuan bagi melibatkan kempen politik serta keselamatan negara kuasa besar Rusia.

Cambridge Analytica kemudiannya berdepan penggeledahan pihak berkuasa di pejabatnya di London, serta disoal siasat pihak berkuasa Amerika Syarikat kerana penglibatan jual beli data tersebut.

Berikutan hal ini, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa ia merupakan cara baru untuk pihak tertentu mengeksploitasi data dan maklumat peribadi bagi tujuan tertentu.

Kini, Kaiser melancarkan kempen #OwnYourData bagi memperjuangkan hak keselamatan data bagi setiap pengguna digital di seluruh dunia.

Data serta maklumat peribadi tidak boleh digunakan, diceroboh, dimiliki oleh kumpulan ketiga sewenang-wenangnya kerana ia boleh di seleweng kepada agenda politik serta maklumat perisikan yang amat berbahaya.

Penyelewengan data mendorong kepada perubahan “pola-sosiologi” serta psikologi dunia kerana majoriti penduduk dunia kini bergantung kepada media sosial dan laman sesawang untuk berinteraksi dan mengakses maklumat.

Ia sekaligus menyebabkan masyarakat dunia hidup dalam kemarahan, kebencian, fitnah dan eksploitasi melampau hingga menjejaskan perpaduan kaum, sosiologi, indeks kebahagiaan dan ekonomi.

Kaiser merupakan mantan eksekutif senior di Cambridge Analytica yang terlibat dalam kontroversi antarabangsa atas pengambilan data jutaan pengguna Facebook, untuk tujuan tertentu yang berkaitan dengan perisikan dan politik.

Cambridge Analytica pula dikenali kerana membantu kempen Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ketika pilihan raya presiden 2016, dan menjadikan badan itu sebagai kumpulan terpenting di Rumah Putih, Washington.

Jadi, adakah program e-Tunai Rakyat turut memberi keuntungan kepada pihak tertentu?

Ini kerana terdapat beberapa syarat dalam aplikasi tersebut yang perlu dipersetujui sebelum menerima RM30 iaitu “menyediakan dan mendedahkan Data Peribadi anda kepada pembekal-pembekal perkhidmatan (mungkin berpengkalan di luar Malaysia), Kerajaan Malaysia dan penama-penama, jabatan-jabatan kerajaan dan agensi-agensi kerajaan untuk mengesahkan dan memproses kelayakan permohonan anda bagi tujuan program ini, memberi ancaman seperti yang didakwa Kaiser.

Malah, bagi tujuan pengesahan itu juga, data yang wajib dimuat naik adalah kad pengenalan dan sekeping gambar “selfie” yang memaparkan wajah dengan jelas dan terang.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com