‘Cage Rage’ antara aktiviti popular dalam Aquaria KLCC.

Sepanjang cuti persekolahan ini, banyak tempat menarik yang boleh anda dan keluarga kunjungi.

Selain berhibur anda juga boleh menggunakan percutian ini untuk mendapatkan informasi dengan gaya yang lebih menyeronokkan.

Antara lokasi yang bersesuaian ialah Aquaria KLCC, sememangnya umum mengetahui tempat tersebut penuh dengan fakta menarik tentang sains.

Namun kali ini ia agak berbeza apabila terdapat 20 eksperimen tambahan yang anda boleh terokai hanya pada musim cuti sekolah ini sahaja!

Terdapat 20 eksperimen disediakan sempena cuti sekolah.

Ia membolehkan anda mendapat hasil secara terus di depan mata dengan setiap eksperimen yang dilakukan.

Menurut Ketua Pengurus Pendidikan Aquaria KLCC, Norzainah Omar daripada 20 eksperimen tersebut, lima aktiviti akan dipamerkan setiap hari dengan capaian kapasiti maksimum 40 kanak-kanak.

Dan lima eksperimen tersebut akan mengambil masa 15 ke 20 minit untuk menghabiskannya sekaligus memberi peluang kepada semua kanak-kanak untuk mencuba ke semua eksperimen itu.

“Sebelum ini ada sahaja aktiviti yang dilakukan di Aquaria, tapi yang kita adakan kali ini lebih khusus untuk musim cuti sekolah sahaja.

Pelbagai jenis ikan disimpan pada ruang khas mengikut spesis.

“Ia lebih kepada ‘show and tell’ tentang Sains, apa peranan setiap di antara kita dalam menjaga alam sekitar seperti penggunaan straw,” katanya kepada FMT.

Antara eksperimen yang kanak-kanak boleh mencuba pada musim cuti sekolah ini “Snakes Can Smell You”, “Shark Swimming Without Swim Bladder”, “Fat Keeps Me Warm” dan “Ocean Acidification”.

Tambah Norzainah, aktiviti ini sesuai untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun, malah turut menjadi proses pembelajaran kepada golongan dewasa.

Program khas cuti sekolah ini dibuka bermula 2 Disember sehingga 31 Disember ini sahaja.

Harga tiket Aquaria KLCC untuk kanak-kanak dan warga emas RM39 dan RM49 bagi dewasa.

‘Living Ocean’ antara ruang yang akan dilalui pengunjung.

Harga tersebut merangkumi seluruh perjalanan anda ke setiap ruang dalam Aquaria seperti “Specimen Wall” , “Living Ocean”, “Shipwreck”, “The Coast” dan “Weird and Wonderful”.

Mengulas lanjut Norzainah turut berkata, sebelum ini Aquaria sudah membuat “Cool Kids Workshops” di mana kanak-kanak berpeluang menerokai kitaran dan kehidupan dalam air.

“Tahun ini kita membuat sedikit kelainan kerana kita merasakan semua peringkat umur, khususnya kanak-kanak dapat memahami fakta sains haiwan dengan lebih mudah melalui aktiviti eksperimen sains yang disediakan.

Mata akan ditutup bagi menguji deria pada setiap eksperimen yang disediakan.

“Mudah untuk kita fikir, adakah kita boleh mengasihi haiwan jika kita tidak mengetahui dan mengenali tentang haiwan tersebut”.

Norzainah dalam masa yang sama mengharapkan agar bimbingan dan pembelajaran di Aquaria ini dapat menyumbang kepada persekitaran yang lebih baik pada masa akan datang.

“Kami memerlukan generasi masa depan untuk membantu kami,” kata Norzainah lagi.

Mempunyai konsep berbeza dengan setiap ruang yang ada.

Berita baik kepada pembaca FMT Ohsem, Aquaria KLCC menawarkan baucar untuk tiga pemenang bertuah.

Anda hanya perlu layari laman sosial Facebook FMT Ohsem atau laman sosial Instagram dan jawab soalan disediakan:

  1. Berapa jumlah eksperimen yang disediakan sepanjang musim cuti sekolah Disember ini?
  2. Berapa ramaikah peserta yang boleh mengambil bahagian dalam setiap eksperimen yang disediakan?
  3. “Saya berminat untuk melawat Aquaria KLCC ini kerana…

Tarikh tutup penyertaan ialah 11 Disember 2019.

Aquaria KLCC,
Kuala Lumpur Convention Centre,
Jalan Pinang, Kuala Lumpur
50088 Kuala Lumpur.

Waktu Operasi : 10am-8pm setiap hari

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com