Kerajaan Selangor mengkaji keperluan menganjurkan bazar Ramadan di semua kawasan PBT pada tahun ini berikutan penularan wabak Covid-19.

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor ketika ini sedang mengkaji keperluan penganjuran bazar Ramadan di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) susulan penularan wabak Covid-19 yang sudah mengorbankan 37 nyawa setakat ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata, kerajaan negeri sudah berbincang dengan semua pengarah pelesenan PBT.

“Kerajaan sedang mengkaji dan akan membuat pengumuman dalam masa yang terdekat. Menteri besar akan umumkan keputusan,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan beberapa kawasan di Selangor akan diisytiharkan sebagai kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Ng Sze Han

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini selepas pihaknya mendapati terdapat 1 atau 2 kawasan di Selangor mempunyai taburan jangkitan tertinggi.

Dalam kemas kini KKM pada Ahad, 4 daerah di Selangor iaitu Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Klang telah disenaraikan sebagai zon merah Covid-19.

Sebelum ini, Terengganu mengambil keputusan membatalkan penganjuran bazar Ramadan di semua kawasan PBT pada tahun ini bagi menangani penularan wabak Covid-19 secara total.

Pembatalan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Terengganu yang dipengerusikan Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar semalam