“Kau kena minum air banyak, barulah okay.” Hmmm… sebenarnya berapa keperluan air bagi seseorang individu? Bagaimana kalau terlebih minum air? Adakah ia boleh mendatangkan bahaya?

Bergantung kepada keperluan

Dalam satu perkongsian status di laman Facebook peribadi milik seorang pakar perunding/Nefrologi di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Dr Rafidah Abdullah, kadar pengambilan air berbeza bagi setiap individu.

Ia bergantung kepada aktiviti harian yang dilakukan.

Sekiranya seseorang individu itu lebih terdedah kepada cahaya matahari, aktif bersukan dan sebagainya, maka keperluan air akan menjadi lebih.

Menurut Dr Rafidah menerusi perkongsiannya, pengambilan air perlu dilakukan secara sederhana, tidak perlu berlebihan dan sudah tentu jangan berkurangan.

Apa yang penting tidak dahaga serta kepekatan air kencing pada tahap yang seimbang.

Beliau yang juga merangkap Ketua Jabatan Unit Perubatan memberitahu bahawa seseorang individu yang terlebih minum air berdepan dengan risiko bahaya yang boleh memudaratkan kesihatan.

Risiko jika terlebih minum air?

Setiap sel dan organ di dalam badan memerlukan air untuk berfungsi dengan baik.

Bagaimanapun, pengambilan air secara berlebihan boleh menyebabkan water intoxication (mabuk air). Dalam sesetengah kes, ia boleh menyebabkan maut.

Mabuk air atau turut dikenali sebagai keracunan air, merupakan satu keadaan yang boleh menjejaskan fungsi otak disebabkan minum air dalam kuantiti yang banyak.

Air yang diminum dalam jumlah yang berlebihan boleh mengakibatkan peningkatan air dalam darah.

Air tersebut boleh mencairkan elektrolit dalam darah terutamanya natrium.

Natrium membantu mengimbangi cecair antara bahagian dalam dan luar sel.

Apabila tahap natrium jatuh di bawah 135 mmol/L, keadaan ini dipanggil sebagai hyponatremia.

Apabila paras natrium turun kerana terlebih minum air, cecair yang berada di luar akan masuk ke dalam sel menyebabkan pembengkakan.

Jika keadaan ini berlaku kepada sel-sel otak, ia boleh menyebabkan risiko bahaya dan berpotensi untuk mengancam nyawa.

Bahaya terlebih air

Mabuk air berlaku apabila sel membengkak. Apabila sel otak menjadi bengkak, tekanan di dalam kepala akan meningkat.

Tekanan ini boleh menyebabkan simptom fasa pertama mabuk air, antaranya:

  • Sakit kepala
  • Loya
  • Muntah

Bagi kes yang serius, masalah ini boleh menyebabkan wujudnya gejala seperti:

  • Peningkatan tekanan darah
  • Kekeliruan
  • Gangguan pada penglihatan
  • Mengantuk
  • Kesukaran untuk bernafas
  • Otot lemah dan kebas

Pengumpulan air secara berlebihan di dalam otak dipanggil edema serebral.

Ia merupakan keadaan yang menjejaskan stem otak dan mengganggu fungsi sistem saraf pusat.

Dalam kes yang serius, ia berisiko mengakibatkan sawan, kerosakan otak, koma serta kematian.

Keperluan air

Seperti perkongsian Dr Rafidah, sememangnya tiada jumlah spesifik untuk menentukan keperluan air seseorang individu setiap hari.

Ia berbeza bergantung kepada berat, aktiviti fizikal dan harian yang dilakukan.

Peraturan yang terbaik untuk menentukan keperluan air dengan “mendengar” kepada badan dan mengambil air apabila rasa dahaga.

Tindakan ini cukup untuk mengimbangi tahap hidrasi badan yang terbaik.

Bagaimanapun, sesetengah individu seperti atlet, individu dewasa berusia dan wanita hamil mungkin memerlukan air yang lebih dan tidak boleh sekadar bergantung kepada rasa dahaga semata-mata.

Pengambilan air dalam jumlah yang mencukupi amat baik untuk kesihatan.

Tetapi harus diingatkan bahawa makanan yang diambil juga sebenarnya turut mengandungi air seperti buah-buahan.

Jadi pastikan anda mengambil air mengikut keperluan badan anda.

Elakkan daripada mengambil air secara berlebihan.

Jangan pula ambil air dengan banyak kononnya untuk kurus, ia tidak akan berjaya, malahan mengundang bahaya.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com